Menjadi tanggungjawab majikan yang termaktub dalam Ordinan Buruh (Sabah Bab 67) adalah untuk mendapatkan kebenaran atau permit terlebih dahulu daripada Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Sabah tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan bagi tujuan-tujuan seperti berikut:-
1. Permit Menyimpan Daftar Pekerja Di Ibu Pejabat / Tempat Lain Borang A dan senarai semak dokumen
Kaedah 4(2) Kaedah-kaedah Buruh (Sabah) 2009
Setiap majikan hendaklah menyediakan dan menyimpan daftar yang mengandungi maklumat mengenai setiap pekerja yang digajikan olehnya sebagaimana Kaedah 3(a), 3(b) dan 3(c), Kaedah-Kaedah Buruh (Sabah) 2009. Majikan hendaklah mengemukakan permohonanan bagi mendapatkan kebenaran bertulis / Permit Menyimpan Daftar Pekerja Di Luar Kawasan Penggajian tempat lain atau Ibu Pejabat sebagaimana Kaedah 4(2) Kaedah-kaedah Buruh (Sabah) 2009 sekiranya ingin menyimpan daftar tersebut selain tempat penggajian atau Ibu Pejabat.
Majikan yang gagal mendapatkan kebenaran bertulis atau Permit Menyimpan Daftar Pekerja Di Luar Kawasan Penggajian / Ibu Pejabat daripada Pengarah Tenaga Kerja Sabah adalah melakukan suatu pelanggaran di bawah Seksyen 58 Ordinan Buruh (Sabah Bab 67) dan jika disabit kesalahan boleh didenda tidak lebih dari RM10,000 untuk setiap kesalahan sebagaimana peruntukan Seksyen 130E(b) Ordinan Buruh (Sabah Bab 67).
2. Permit Pendahuluan Gaji Borang C dan Senarai semak dokumen
Seksyen 102(1) Ordinan Buruh Sabah (Sabah Bab 67)
Tiada majikan boleh memberikan pendahuluan gaji melebihi jumlah keseluruhan upah yang diperolehi oleh pekerja pada bulan sebelumnya kecuali pendahuluan tersebut untuk tujuan berikut:-
a) Membeli rumah atau membina atau memperbaiki rumah;
b) Membeli tanah;
c) Membeli ternakan;
d) Membeli kereta, motosikal dan basikal;
e) Membeli saham perniagaan majikan yang ditawarkan untuk dijual oleh majikan;
f) Untuk tujuan lain-
i) Pemohonan bertulis oleh majikan kepada Pengarah Tenaga Kerja Sabah
ii) Menurut pendapat Pengarah memberi manfaat kepada pekerja
iii)Kelulusan secara bertulis daripada Pengarah tertakluk kepada pengubahsuaian atau syarat-syarat yang difikirkan wajar olehnya.
Bagi maksud tujuan lain, majikan hendaklah mengemukakan permohonan bertulis untuk mendapatkan kebenaran bertulis dan kelulusan daripada Pengarah Tenaga Kerja Sabah tertakluk kepada syarat-syarat tertentu.
Majikan yang gagal mendapatkan kebenaran bertulis atau Permit Pendahuluan Gaji daripada Pengarah Tenaga Kerja Sabah adalah melakukan suatu pelanggaran di bawah Seksyen 102 Ordinan Buruh (Sabah Bab 67) dan jika disabit kesalahan boleh didenda tidak lebih dari RM10,000 untuk setiap kesalahan sebagaimana peruntukkan Seksyen 130J (a) Ordinan Buruh (Sabah Bab 67).
3. Permit Kelonggaran Waktu Kerja Borang D dan Senarai semak dokumen
Seksyen 104 (2) Ordinan Buruh Sabah(Sabah Bab 67)
Pekerja tidak boleh dikehandaki bekerja :-
a) Melebihi 5 jam berturut-turut tanpa rehat sekurang-kurangnya 30 minit.
b) Melebihi 8 jam dalam satu hari.
c) Melebihi 10 jam "spread over period,"
d) Melebihi 48 jam dalam satu minggu
Pengarah boleh, atas permohonan bertulis seorang majikan, memberi kebanaran kepada majikan itu untuk memasuki suatu kontrak perkhidmatan dengan seseorang pekerja untuk bekerja lebih masa dari had waktu bekerja yang ditetapkan di atas, tertakluk kepada syarat-syarat atau keadaan tertentu.
4. Permit Pengecualian Sekatan Kerja Lebih Masa Borang E dan Senarai semak dokumen
Seksyen 104 (7) Ordinan Buruh Sabah(Sabah Bab 67)
Had kerja lebih masa bagi maksud Seksyen 104(7) ordinan ini hendaklah berjumlah satu ratus empat jam (104 jam) dalam mana-mana satu bulan. Majikan yang menghendaki pekerja bekerja lebih masa melebihi had 104 jam sebulan sebagaimana yang ditetapkan dalam Kaedah 2, Kaedah-Kaedah Buruh (Sabah) (Had Kerja Lebih Masa) 2008 hendaklah mempunyai pengecualian bertulis daripada Pengarah Tenaga Kerja Sabah bagi membenarkan pekerja bekerja melebihi 104 jam tertakluk kepada syarat-syarat tertentu.
Namun sebarang kerja yang dilakukan pada hari rehat, cuti umum yang diwartakan dalam Subseksyen (1) Seksyen 103, atau pada setiap cuti berbayar yang diganti oleh Subseksyen 103 adalah tidak termasuk bagi maksud pengiraan jumlah 104 jam tersebut.
Majikan yang gagal mendapatkan kebenaran bertulis atau Permit Pengecualian Sekatan Kerja Lebih Masa daripada Pengarah Tenaga Kerja Sabah adalah melakukan suatu pelanggaran di bawah Seksyen 104 (7) Ordinan Buruh (Sabah Bab 67) dan jika disabit kesalahan boleh didenda tidak lebih dari RM10,000 untuk setiap kesalahan sebagaimana peruntukan Seksyen 130J (i) Ordinan Buruh (Sabah Bab 67).
5. Permit Kelonggaran Waktu Kerja Syif Borang F dan Senarai semak dokumen
Seksyen 104 A (1) (a) Ordinan Buruh Sabah (Sabah Bab 67)
Tertakluk kepada Seksyen 104 A (1) (a) OBS seseorang pekerja yang dibawah kontrak perkhidmatannya terlibat dalam kerja syif boleh dikehandaki oleh majikannya bekerja lebih daripada 8 jam dalam suatu hari atau lebih daripada 48 jam dalam suatu minggu tetapi purata bilangan jam bekerja dalam sesuatu tempoh 3 minggu atau dalam tempoh melebihi 3 minggu sebagaimana yang diluluskan oleh Pengarah hendaklah tidak melebihi 48 jam seminggu.
6. Permit Mengumpul Cuti Rehat Mingguan Borang G dan Senarai semak dokumen
Seksyen 104 B (3) Ordinan Buruh Sabah(Sabah Bab 67)
Merujuk Seksyen 104 B (1) OBS seseorang pekerja hendaklah diberikan satu hari cuti rehat dalam seminggu. Walau bagaimanapun, berdasarkan Seksyen 104 B (3) OBS Majikan boleh memohon permit daripada Pengarah untuk mengumpul atau menggantikan hari rehat tersebut kepada mana-mana hari dalam bulan yang berkenaan.
a) Cuti rehat diambil pada bulan yang sama;
b) Permohonan permit ini adalah terbuka kepada semua sektor tempat pekerjaan yang agak tidak praktikal bagi pekerja balik hari atau hujung minggu kecuali dengan justifikasi yang kukuh untuk dipertimbangkan oleh Pengarah Tenaga Kerja Sabah;
c) Permohonan hendaklah secara bertulis
Majikan yang gagal mendapatkan kebenaran bertulis atau Permit Mengumpul Cuti Rehat daripada Pengarah Tenaga Kerja Sabah di bawah Seksyen 104 B (3) Ordinan Buruh (Sabah Bab 67) dan jika disabit kesalahan boleh didenda tidak lebih dari RM10,000 untuk setiap kesalahan sebagaimana peruntukkan Seksyen 130 J (b) Ordinan Buruh (Sabah Bab 67).
7. Permit Potongan Gaji Borang I dan Senarai semak dokumen
Seksyen 113 (4) Ordinan Buruh Sabah (Sabah Bab 67)
Tiada sebarang potongan gaji pekerja dilakukan oleh majikan selain yang dibenarkan di bawah peruntukan Ordinan Buruh (Sabah Bab 67).
Adalah sah bagi majikan membuat potongan gaji seperti berikut:-
a) Potongan gaji yang terlebih bayar dalam 3 bulan kebelakangan atas kesilapan majikan;
b) Potongan gaji bagi bayaran gaji ganti notis di bawah Subseksyen (1) Seksyen 12;
c) Potongan gaji bagi bayaran pendahuluan gaji di bawah Seksyen 102 tanpa faedah; dan
d) Potongan gaji yang dibenarkan di bawah undang-undang bertulis.
Selain daripada potongan gaji dinyatakan di atas, majikan hendaklah mengemukakan permohonan permit potongan gaji di bawah Seksyen 113 (4) OBS bagi mendapatkan kebenaran bertulis daripada Pengarah Tenaga Kerja Sabah tertakluk kepada syarat-syarat tertentu.
Majikan yang gagal mendapatkan kebenaran bertulis atau Permit Potongan Gaji daripada Pengarah Tenaga Kerja Sabah adalah melakukan suatu pelanggaran di bawah Seksyen 113 (4) Ordinan Buruh (Sabah Bab 67) dan jika disabit kesalahan boleh didenda tidak lebih dari RM10,000 untuk setiap kesalahan sebagaimana peruntukkan Seksyen 130 J (e) Ordinan Buruh (Sabah Bab 67).
Borang I(i) dan Senarai semak dokumen
(Potongan untuk Skim Insurans)
Borang I(ii) dan Senarai semak dokumen
(Potongan Yuran Kelab Sukan / Rekreasi)
Borang I(iii) dan Senarai semak dokumen
(Potongan Pengurusan Dokumen Pekerja Bukan Pemastautin)
Borang I(iv) dan Senarai semak dokumen
(Potongan Kemudahan Tempat Tinggal / Makanan / Elektrik / Air)
Borang I(v) dan Senarai semak dokumen
(Potongan Bayaran Kos Perubatan)
Borang I(vi) dan Senarai semak dokumen
(Potongan Bayaran Balik Pinjaman Perumahan / Kenderaan / Komputer / Pelajaran / Peribadi / Koperasi)
Borang I(vii) dan Senarai semak dokumen
(Potongan Skim Kebajikan / Simpanan / Tabungan / Pencen Pekerja)
Borang I(viii) dan Senarai semak dokumen
(Potongan Pembelian Barang Keluaran Syarikat Majikan)
Borang I(ix) dan Senarai semak dokumen
(Lain-lain Jenis Potongan seperti Pembelian Barangan Keperluan Harian (Kedai Runcit),Pembayaran Kos Perubatan Tanggungan dan Pasport Tanggungan)
8. Permit Kemudahan dan Perkhidmatan / Saraan Lain Daripada Upah Lain Borang H dan Senarai semak dokumen
Seksyen 116 (2) Ordinan Buruh Sabah (Sabah Bab 67)
Majikan yang menyediakan sebarang kemudahan, perkhidmatan atau saraan lain seperti yang dipersetujui di dalam kontrak perkhidmatan seperti kemudahan perumahan, makanan, minyak, air, elektrik, kemudahan perubatan atau kemudahan atau perkhidmatan lain sebagai tambahan kepada upah pekerja.
Majikan hendaklah mengemukakan permohonan bagi kemudahan atau perkhidmatan lain di bawah Seksyen 116 (2) OBS bagi mendapatkan kebenaran bertulis daripada Pengarah Tenaga Kerja Sabah tertakluk kepada syarat-syarat tertentu.
Majikan yang gagal mendapatkan kebenaran bertulis atau Permit Kemudahan dan Perkhidmatan / Saraan Lain Daripada Upah Lain daripada Pengarah Tenaga Kerja Sabah adalah melakukan suatu pelanggaran di bawah Seksyen 116 (2) Ordinan Buruh (Sabah Bab 67) dan jika disabit kesalahan boleh didenda tidak lebih dari RM10,000 untuk setiap kesalahan sebagaimana peruntukan Seksyen 130 J (h) Ordinan Buruh (Sabah Bab 67).
9. Permit Bayaran Gaji Secara Tunai/Cek Tunai Borang K(1) Borang K dan Lampiran A
Seksyen 110A(2) Ordinan Buruh Sabah (Sabah Bab 67)
10. Permit Pelanjutan Tempoh Gaji Borang J(1) dan Borang J
Seksyen 108 Ordinan Buruh Sabah (Sabah Bab 67)